top of page

Hadiah Terkumpul Mid-Season Invitational 2017 Mencecah 1.7 Juta USD !!


Pengenalan

Mid-Season Invitational 2017 atau lebih dikenali sebagai MSI sudah hampir melabuhkan tirai di Brazil yang mempamerkan aksi menarik oleh kesemua 13 wilayah League of Legends dari seluruh dunia. Pertandingan ini merupakan kedua terbesar selepas Worlds, saya menggelarkan ia sebagai ‘Pre-World Cup Tournament’, kerana setiap prestasi pasukan akan dinilai dan akan mempengaruhi kelayakan yang diperlukan untuk memasuki pertandingan Worlds.

Misalannya, GIGABYTES Marines yang telah mara masuk ke peringkat kumpulan MSI, berjaya mendapatkan satu lagi tempat untuk pasukan dari wilayah Garena Premier League atau Garena. Ini bermakna, 2 pasukan dari wilayah Garena Premier League, akan mendapat slot untuk bertanding dalam kejohanan Worlds.

Hadiah Terkumpul

Apa-apa kejohanan besar melibatkan dunia E-Sports, sudah semestinya para peminat akan melihat sebanyak mana hadiah terkumpul atau duit yang ditawarkan kepada pasukan yang akan menjadi juara. Secara jujurnya, League of Legends masih lagi ketinggalan dari segi hadiah terkumpul jika hendak dibandingkan dengan Dota 2 namun semakin menghampiri ke arah tersebut.

Hadiah terkumpul sangat penting sebagai salah satu sumber pendapatan untuk sesebuah pasukan dan juga kepada pemain itu sendiri. Lagi besar wang tunai yang ditawarkan, lebih banyak perancangan yang boleh dibuat untuk memantapkan sesebuah pasukan sekiranya ingin mencapai lebih banyak kejayaan. Sebelum saya mengulas mengenai hadiah terkumpul untuk MSI 2017, mari kita lihat kembali sejarah hadiah terkumpul MSI yang lepas.

MSI 2015

MSI 2015 ini telah diadakan buat pertama kalinya di Florida, Amerika Syarikat selama 4 hari. Sumber gambar daripada Surrender at 20.

MSI 2015, merupakan MSI edisi pertama diperkenalkan sebagai sebuah kejohanan premium yang diadakan pada pertengahan musim LoL. Hadiah terkumpul yang ditawarkan pada masa itu dianggarkan sebanyak 200 000 USD, yang akan diagihkan hanya kepada pasukan 4 teratas. Juara akan menerima habuan sebanyak 100 000 USD (Edward Gaming) , diikuti oleh naib juara sebanyak 50 000 USD (SK Telecom) dan selebihnya kepada 2 pasukan (Fnatic dan ahQ Esports) yang berjaya memasuki peringkat separuh akhir.

Saya merasakan 100 000 USD tidak mencukupi kerana, jika mengikut sistem liga Korea iaitu LCK, pasukan juara akan menerima wang tunai sebanyak 80 000 hingga 90 000 USD. Jumlahnya agak kecil terutamanya untuk kejohanan kedua terbesar selepas Worlds, lebih-lebih lagi pada peringkat antarabangsa. Harus diingatkan, League of Legends adalah lebih kepada sistem liga dan tidak banyak kejohanan terbuka (open tournament), jadi wang tunai yang ditawarkan seharusnya lebih banyak.

MSI 2016

China telah menjadi tuan rumah dalam kejohanan MSI edisi kedua yang diadakan di Oriental Sports Center, Shanghai. Penambahan dari segi 'prize pool' dan bilangan perlawanan juga telah dilaksanakan oleh Riot Games. Sumber gambar daripada Riot Games.

Kejohanan MSI edisi kedua, ini menerima perubahan dari segi format perlawanan di mana keenam-enam pasukan dari wilayah berbeza akan berlawan sebanyak 2 kali sebelum memasuki peringkat kalah mati. Ini menjadikan perlawanan di peringkat kumpulan dilanjutkan selama 5 hari. Tempoh rehat sebelum perlawanan kalah mati akan diberikan selama 5 hari juga. Hadiah terkumpul juga meningkat kepada 450 000 USD di mana pasukan juara akan menerima wang tunai sebanyak 250 000 USD (SK Telecom), naib juara 100 000 USD (Counter Logic Gaming) dan 50 000 USD (Flash Wolves dan Royal Never Giveup) untuk pasukan kedudukan 3 atau 4 (separuh akhir).

Yang ini baru betul-betul berbaloi, sekurangnya untuk perlawanan peringkat antarabangsa sebagai bonus kepada pasukan yang berjaya menjuarainya. Pada masa ini, sistem ala-ala kompendium belum diperkenalkan lagi. Jadi tiada penambahan wang tunai dan sistem ini mula diguna pakai pada Worlds 2016 melalui hasil penjualan skin iaitu Championship Zed.

MSI 2017

Setelah 2 benua berbeza menjadi tuan rumah kepada kejohanan MSI, acara kali ini diadakan pula di negara Brazil. Wilayah 'Wild Cards' semakin menunjukkan taring sebenar mereka dalam peringkat antarabangsa. Sumber gambar daripada Riot Games.

Format yang lebih kurang sama seperti kejohanan tahun lepas, cuma saya merasakan kejohanan kali ini lebih menarik kerana Riot Games telah memperkenalkan sistem ‘play-in’ dimana setiap wilayah selain dari Korea, Eropah, China dan sebagainya akan berlawan untuk merebut slot ke peringkat kumpulan. Tiada lagi konsep perlawanan kelayakan khas untuk wilayah ‘Wild Card’, malahan wilayah Amerika Utara dan Taiwan/Hong Kong juga ditempatkan dalam peringkat 'play-in' mengikut prestasi mereka. Bercakap mengenai hadiah terkumpul, tahun ni paling ‘grand’ sebab akhirnya Riot Games menggunakan sistem ala-ala kompendium Dota 2 yang dikenali sebagai ‘Fans Contribution’.

Jika Riot Games meneruskan sistem ini, 'prize pool' untuk kejohanan LoL akan terus meningkat dan mungkin akan menyaingi 'prize pool' Dota 2 pada masa hadapan. Sumber gambar daripada Riot Games

Mereka menjual skin khas untuk MSI iaitu Conqueror Karma dan Ward, di mana 25% dari hasil jualan tersebut akan dimasukkan ke dalam hadiah terkumpul. Hasilnya, hadiah terkumpul atau wang tunai MSI 2017 sudah mencapai 1.7 juta USD !!! Peningkatan yang begitu drastik jika hendak dibandingkan dengan 2 tahun lepas. Hadiah sebegini yang kita mahukan supaya lebih banyak pasukan mempunyai motivasi dan keinginan yang tinggi untuk memenangi kejohanan antarabangsa.

Kesimpulan

Perubahan hadiah terkumpul dalam kejohanan MSI 2017 berlaku secara drastik dan segala penghargaan harus diberikan kepada para pemain kerana menaikkan 'prize pool' ini untuk membantu pasukan kesayangan mereka. Untuk pengetahuan, hadiah terkumpul MSI 2017 masih lagi berlangsung sehingga 24 Mei 2017 ini, maka jumlah akhir yang sebenar masih belum diketahui lagi dan berkemungkinan akan mampu mencecah sehingga 2 juta USD sekiranya para pemain yang lain terus membeli skin Conqueror Karma. Ayuh, tunjukkan sokongan anda dengan membeli skin ini !!!

Sumber gambar daripada Riot Games.

Sumber Rujukan :

1. http://lol.gamepedia.com/2015_Mid-Season_Invitational

2. http://lol.gamepedia.com/2016_Mid-Season_Invitational#Day 5

3. http://lol.gamepedia.com/2017_Mid-Season_Invitational

4. https://dotesports.com/league-of-legends/fan-contribution-msi-2017-14663

5. http://www.lolesports.com/en_US/articles/fan-contributions-msi-2017-prize-pool

6. http://www.lolesports.com/en_US/articles/2017-mid-season-invitational-update

7. https://en.wikipedia.org/wiki/Mid-Season_Invitational#cite_note-2

8. chrome-extension://oemmndcbldboiebfnladdacbdfmadadm/https://s3-us-west-2.amazonaws.com/esports-assets/production/files/final_msi_2016_ruleset_v1_00.pdf

9. https://www.pastemagazine.com/articles/2015/05/paste-goes-to-the-league-of-legends-mid-season-inv.html

Artikel lain:
bottom of page